Oleh Dr. Syahirah Samsuri
Diterbitkan pada 10 June 2026

Senggugut yang terlalu teruk sehingga mengganggu aktiviti harian bukanlah sesuatu yang normal. Jika anda sering mengalami sakit pelvis yang berulang setiap bulan, pendarahan haid yang banyak atau berpanjangan, keadaan tersebut mungkin berkaitan dengan endometriosis.
Ramai wanita menganggap simptom ini sebagai masalah haid biasa dan hanya menahannya tanpa mendapatkan pemeriksaan. Namun, jika dibiarkan berlarutan, endometriosis boleh menjejaskan kualiti hidup, kesihatan reproduktif dan dalam sesetengah kes menyebabkan kesukaran untuk hamil.
Mengenali tanda-tanda awal, punca dan pilihan rawatan endometriosis adalah penting supaya diagnosis dapat dibuat lebih awal dan rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Apa Itu Endometriosis?
Endometriosis ialah keadaan apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim (endometrium) tumbuh di luar rahim. Tisu ini boleh ditemui pada ovari, tiub fallopio, dinding pelvis dan organ lain di sekitar kawasan pelvis.
Walaupun tisu tersebut bertindak balas terhadap perubahan hormon seperti lapisan rahim biasa, ia tidak dapat keluar daripada badan semasa haid. Keadaan ini boleh menyebabkan keradangan, pembentukan tisu parut dan kesakitan yang berulang setiap bulan.
Endometriosis sering berlaku dalam kalangan wanita usia reproduktif dan merupakan salah satu punca utama senggugut yang teruk, sakit pelvis kronik serta masalah kesuburan. Dalam sesetengah kes, penyakit ini boleh menjejaskan aktiviti harian, pekerjaan dan kualiti hidup jika tidak mendapatkan rawatan yang sesuai.
Apakah Jenis Endometriosis?
Endometriosis boleh berlaku di beberapa bahagian sistem reproduktif wanita dan organ di sekitarnya. Lokasi pertumbuhan tisu endometriosis sering mempengaruhi tahap kesakitan, simptom dan kesannya terhadap kesuburan.
Endometriosis Peritoneal
Ini merupakan jenis endometriosis yang paling kerap ditemui. Tisu endometriosis tumbuh pada lapisan nipis yang melapisi rongga pelvis dan boleh menyebabkan keradangan serta sakit pelvis yang berulang.
Endometrioma Ovari
Keadaan ini berlaku apabila tisu endometriosis membentuk sista pada ovari yang sering dikenali sebagai “chocolate cyst”. Sista ini boleh menyebabkan senggugut yang teruk, sakit pelvis dan masalah kesuburan.
Deep Infiltrating Endometriosis
Jenis ini berlaku apabila tisu endometriosis tumbuh lebih dalam ke dalam organ atau tisu pelvis. Ia sering dikaitkan dengan kesakitan yang lebih teruk dan boleh menjejaskan fungsi organ berhampiran.
Endometriosis Pada Organ Berdekatan
Dalam sesetengah kes, endometriosis boleh melibatkan pundi kencing, usus atau struktur pelvis lain. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit ketika membuang air kecil atau besar, terutamanya semasa haid.
Tanda-Tanda Endometriosis
Endometriosis sering dikaitkan dengan senggugut yang lebih teruk daripada biasa. Kesakitan yang dialami boleh mengganggu aktiviti harian, pekerjaan dan kualiti hidup seseorang wanita.
Walau bagaimanapun, tidak semua wanita yang menghidap endometriosis mempunyai simptom yang sama. Ada yang mengalami kesakitan yang teruk, manakala ada yang hanya mengalami gejala ringan. Antara simptom endometriosis yang kerap berlaku ialah:
- Senggugut yang sangat teruk
- Sakit pelvis sebelum atau semasa haid
- Pendarahan haid yang banyak atau berpanjangan
- Sakit ketika hubungan kelamin
- Sakit ketika membuang air kecil atau besar
- Kembung perut, sembelit atau cirit-birit
- Sakit belakang atau bahagian bawah abdomen
- Kesukaran untuk hamil
Dalam sesetengah keadaan, simptom boleh menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa jika endometriosis tidak dirawat. Pemeriksaan awal amat penting bagi mengenal pasti punca sebenar simptom dan mendapatkan rawatan yang sesuai.
Apakah Punca Endometriosis?
Punca sebenar endometriosis masih belum diketahui sepenuhnya. Namun, beberapa faktor dipercayai boleh meningkatkan risiko seseorang wanita mengalaminya.
Sejarah Keluarga: Wanita yang mempunyai ibu, kakak atau ahli keluarga terdekat dengan endometriosis mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami penyakit ini.
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS): PCOS merupakan salah satu punca utama haid tidak teratur dalam kalangan wanita. Keadaan ini boleh menyebabkan ovulasi tidak berlaku secara konsisten.
Kitaran Haid Pendek: Wanita yang mengalami haid dengan jarak kitaran yang pendek mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat endometriosis.
Pendarahan Haid Berlebihan: Haid yang banyak dan berpanjangan dipercayai boleh meningkatkan risiko berlakunya pertumbuhan tisu endometriosis.
Faktor Hormon: Hormon estrogen memainkan peranan penting dalam perkembangan endometriosis. Ketidakseimbangan hormon boleh menyumbang kepada pertumbuhan tisu yang tidak normal.
Walaupun faktor-faktor ini boleh meningkatkan risiko, tidak semua wanita yang mempunyai faktor tersebut akan mengalami endometriosis.
Bagaimana Endometriosis Didiagnosis?

Diagnosis endometriosis sering bermula apabila seseorang wanita mendapatkan rawatan kerana mengalami senggugut yang teruk, sakit pelvis yang berulang atau kesukaran untuk hamil.
Doktor akan menilai simptom yang dialami, sejarah kesihatan pesakit serta corak kitaran haid sebelum mencadangkan pemeriksaan lanjut. Dalam sesetengah kes, doktor juga akan bertanya sama ada terdapat ahli keluarga yang pernah menghidap endometriosis kerana faktor genetik boleh meningkatkan risiko penyakit ini. Antara pemeriksaan yang mungkin dilakukan termasuk:
- Pemeriksaan pelvis
- Imbasan ultrasound
- MRI
- Laparoskopi
Melalui laparoskopi, doktor bukan sahaja dapat mengenal pasti lokasi pertumbuhan tisu endometriosis, malah dalam sesetengah kes boleh terus membuang tisu tersebut semasa prosedur dijalankan. Diagnosis awal amat penting kerana rawatan yang lebih cepat boleh membantu mengawal simptom dan mengurangkan risiko komplikasi pada masa hadapan.
Apakah Rawatan Endometriosis Yang Tersedia?
Rawatan endometriosis bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap penyakit, umur pesakit, tahap kesakitan yang dialami dan sama ada pesakit merancang untuk hamil pada masa hadapan. Matlamat utama rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan, memperlahankan perkembangan penyakit dan membantu meningkatkan peluang kehamilan bagi wanita yang menghadapi masalah kesuburan.
Ubat Tahan Sakit: Ubat tahan sakit dan ubat anti-radang boleh membantu mengurangkan kesakitan serta keradangan yang disebabkan oleh endometriosis.
Sindrom Ovari Polisistik (PCOS): PCOS merupakan salah satu punca utama haid tidak teratur dalam kalangan wanita. Keadaan ini boleh menyebabkan ovulasi tidak berlaku secara konsisten.
Rawatan Hormon: Rawatan hormon bertujuan mengawal perubahan hormon yang mempengaruhi pertumbuhan tisu endometriosis. Ia juga boleh membantu mengurangkan kesakitan dan pendarahan haid.
Pembedahan Laparoskopi: Pembedahan laparoskopi digunakan untuk mengesan dan membuang tisu endometriosis. Rawatan ini sering dipertimbangkan bagi pesakit yang mengalami simptom yang teruk atau menghadapi masalah kesuburan.
Rawatan Kesuburan: Bagi wanita yang mengalami kesukaran untuk hamil akibat endometriosis, doktor mungkin mencadangkan rawatan kesuburan yang bersesuaian.
Kesan Endometriosis Terhadap Kesihatan Wanita
Walaupun endometriosis bukan penyakit kanser, ia boleh memberi kesan besar kepada kesihatan fizikal dan emosi wanita jika tidak dirawat. Antara komplikasi yang boleh berlaku termasuk:
- Sakit pelvis kronik yang berpanjangan
- Kista ovari (endometrioma)
- Pembentukan tisu parut dalam pelvis
- Masalah pada usus atau pundi kencing
- Kesukaran untuk hamil
- Gangguan terhadap aktiviti harian dan kualiti hidup
Endoemetriosis boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan yang berulang, terutamanya ketika haid. Dalam sesetengah kes ia juga boleh menjejaskan fungsi organ reproduktif dan mengurangkan peluang untuk hamil. Jika tidak dirawat, Simptom boleh menjadi semakin teruk dan memberi kesan kepada aktiviti harian serta kesejahteraan hidup seorang wanita. Tahap komplikasi yang dialami berbeza bagi setiap wanita bergantung kepada tahap dan lokasi endometriosis.
Soalan Lazim Mengenai Endometriosis
Dapatkan Rawatan Endometriosis Di Klinik Ezna
Jika anda mengalami senggugut yang teruk, pendarahan haid berlebihan, sakit pelvis atau menghadapi kesukaran untuk hamil, jangan abaikan simptom tersebut. Pemeriksaan awal boleh membantu mengenal pasti punca masalah dan membolehkan rawatan yang sesuai dimulakan lebih awal.
Klinik Ezna menyediakan perkhidmatan kesihatan wanita yang mesra, profesional dan privasi terjaga. Hubungi kami hari ini untuk mendapatkan konsultasi dan pemeriksaan lanjut berkaitan endometriosis serta masalah kesihatan wanita yang lain.